A Kadir Jasin
[KOMEN anonymous DAN KESAT tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh guna nama samaran.]
ADA pembahas yang mengherdik saya kerana mengkritik Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, mengenai pengurusan ekonomi tetapi tidak memberi nasihat dan tunjuk ajar.
Saya rasa pembahas berkenaan tidak terbaca "nasihat" saya yang berjela-jela kepada Mohd Najib dan kerajaan melalui blog ini dan dalam tulisan saya di tempat-tempat lain berkaitan pengurusan ekonomi, mata wang, percukaian dan sebagainya.
Kadang-kadang, bila kita membincangkan isu ekonomi, banyak orang tidak peduli atau mudah bosan. Tetapi kalau kita tidak bincang, mereka kata kita hanya pandai kritik.
Sejak tahun 2006 lagi, apabila kerajaan Abdullah Ahmad Badawi membuat potongan drastik subsidi petroliam sehingga menyebabkan harga minyak dan gas naik mendadak dan dengannya harga barang dan perkhidmatan, saya menulis beberapa buah rencana mengingatkan kerajaan mengenai kesan buruk tindakan itu dan bagaimana mengurangkan beban pengguna.
Pada 28 Februari 2006 saya menyiarkan dalam blog ini rencana bertajuk “Mengatasi Beban Kenaikan Harga Minyak” (kalau berminat baca arkib ini.)
Bukan tugas saya memberi tunjuk ajar terperinci kepada kerajaan mengenai pengurusan ekonomi. Itu tugas kementerian, jabatan, agensi dan para penasihat Perdana Menteri yang sangat ramai, hebat dan tersohor.
Tugas saya adalah memberi maklum balas dan membuat kritikan. Malangnya ada pihak menganggap kritikan sebagai penentangannya. Inilah akibatnya apabila masyarakat tidak berfikiran kritis ditambah pula oleh sikap partisan yang melampau.
Saya berulang kali berkata subsidi tidak lestari (unsustainable), mengherotbenyotkan (distort) ekonomi dan menyebabkan pergantungan terhadap kerajaan.
Tetapi saya mempertikaikan cara kerajaan, khasnya pada zaman Abdullah dan Mohd Najib, menguruskan subsidi, memantau dan mengawal kenaikan harga, mengagihkan penjimatan subsidi dan mengurangkan pembaziran sumber kewangan negara.
Tidak Cekap Urus Kewangan
Saya menuduh pentadbiran Abdullah dan Mohd Najib boros dan cemerkap menguruskan kewangan negara dan tidak sensitif terhadap perasaan rakyat jelata.
Ketika rakyat dilanda banjir, Abdullah sibuk ke Perth, Australia untuk merasmikan pembukaan kedai makan. Beliau pulang sebentar menjenguk mangsa banjir di Johor dan terbang semula ke luar negara.
Mohd Najib pula dua tahun berturut-turut bercuti di luar negara ketika tahun baru dan kali ini, pada saat tahun baru menjanjikan khabar buruk kepada rakyat jelata akibat dasar beliau memansuhkan dan mengurangkan subsidi secara serentak.
Apakah salah saya dan sesiapa juga menegur dan mengkritik Mohd Najib dan para penasihat beliau yang bernilai berbilion ringgit itu?
Adakah beliau raja berkuasa mutlak yang tidak boleh disentuh barang sedikit pun?
Atau adakah dia keramat hidup yang bebas daripada segala bentuk kesilapan?
Mohd Najib dan kerajaannya wujud kerana rakyat jelata yang memilih mereka. Lagipun bukan rakyat jelata yang berjanji dan berikrar tidak menaikkan harga malah mengurangkannya. Yang berjanji tidak menaikkan harga adalah Mohd Najib dan para perancang Bilik Perang pilihan raya beliau. Sekarang siapa yang mungkir?
Ada Masalah Lain Selain Subsidi
Sebenarnya, bukan subsidi dan kenaikan harga saja yang wajar kita bahaskan. Banyak lagi isu yang bercanggah dengan dakwaan yang diuar-uarkan melalui media arus perdana.
Contohnya nilai ringgit yang terus merosot berbanding dengan dolar Amerika dan mata wang utama lain sedangkan ekonomi kita lebih kukuh daripada ekonomi Amerika.
Kenapa defisit belanjawan dan hutang negara semakin meruncing sedangkan kita dilambakkan dengan berita bahawa ekonomi kita mantap, hasil kerajaan meningkat dan pengurusan kewangan berhemah?
Tetapi adakah orang yang mengherdik saya kerana mempertikaikan pengurusan ekonomi Mohd Najib sedar bahawa ada rancangan untuk menjual aset negara bagi mengatasi masalah kewangan kerajaan?
Ini bukan cerita khayalan rekaan saya. Bukan fitnah. Ini adalah kata Bank Dunia yang kita menjadi anggotanya. Saya ambil ringkasan dari “Malaysia Economic Monitor: December 2013” ( muka surat 10) seperti berikut:
“… the government reaffirmed its headline deficit target for 2013 (4.0% of GDP vs 4.5% in 2012). This target will be achieved through additional tax revenues (Figure 13). Of the additional RM11.8 billion in revenues expected to be raised compared to budgeted estimates, RM7.4 billion originated from non-tax sources, including RM1.4 billion of proceeds from asset sales and RM4.2 billion from the securitization of government mortgages…”
Ringkasnya Pentadbiran Mohd Najib telah, sedang atau akan menjual harta negara dan mengubah gadaian kerajaan menjadi saham untuk dijual kepada orang ramai bagi menampung defisit belanjawan. Perniagaan "derivatives" macam inilah yang membawa kepada krisis kewangan dunia pada tahun 2008 dan 2009.
Blog ekonomi “Economics Malaysia” dalam rencana bertajuk “Debt, Deficits, and Government Assets” pada 26 Disember 2013, antara lain mengulas:
“Ini adalah pendedahan yang cukup mengejutkan kerana pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak sudah sampai ke peringkat menjual aset negara dan mencagarkan harta-harta negara (melalui securitization of government mortgages) untuk menampung keborosan dan pembaziran kerajaannya.”
Pemilik blog itu menambah:
“Saya syak rancangan menjual aset negara ini telah pun berlaku kerana ia bertujuan mencapai sasaran defisit 4% bagi 2013 yang sebenarnya telah gagal. Ini bermakna, harta-harta negara ini telah pun dijual dan digadai supaya hasilnya itu diperolehi dalam tahun 2013 untuk menutup jurang pendapatan dan perbelanjaan negara….” (Baca di sini).
Pendek kata, masalah kita sebenarnya tidak terhad kepada kesan-kesan negatif rasionalisasi subsidi sahaja. Ada banyak isu dan masalah lagi yang membimbangkan. Kita perlu terus bertanya, menegur dan mengkritik.
Tetapi kalau ada orang yang berasa itu salah kerana mereka terlalu sayangkan Perdana Menteri, saya rasa tidak perlulah kita bersusah payah mengadakan pilihan raya untuk memilih kerajaan. Kita hapuskan demokrasi dan lantik saja kerajaan yang ada sekarang sebagai pemerintah seumur hidup. Habis cerita. Wallahuaklam.