A Kadir Jasin
[KOMEN anonymous DAN KESAT tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh guna nama samaran.]
RASANYA sudah cukup lama kita tidak mengulas dan menganalisis politik serta ekonomi tanah air kerana kita mahu memberi peluang dan ruang yang secukupnya kepada semua pihak, khususnya kepemimpinan negara, menangani misteri MH370 tanpa gangguan.
![]() |
Kelembutan Hishammuddin Husein membantu proses komunkiasi, diplomasi dan mengubat hati. Prestasi beliau dalam krisis MH370 membanggakan. |
Tetapi selepas lebih tiga minggu, misteri kehilangan pesawat Boeing 777-200ER MAS itu jauh daripada selesai dan kita pun sudah lihat dengan jelas buruk serta baik prestasi kepemimpinan kita menangani krisis.
Bukan krisis lesapnya MH370 sahaja. Serentak itu kita juga mengalami kemarau, kebakaran hutan, jerebu dan catuan air. Sebelum itu, wilayah kita dilanggar penjahat Filipina.
Kita sudah memberikan masa yang cukup lama dan panjang kepada mereka, khasnya Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak mengatasi krisis-krisis ini sehingga timbul tanda-tanda yang mereka berasa lega berselindung di sebalik tragedi MH370.
Saya tertarik dengan analisis sebuah portal berita yang mengatakan kedudukan Mohd Najib sebagai Perdana Menteri adalah selamat dan terjamin walaupun negara dan rakyat jelata menderita pelbagai krisis.
Kata portal berita itu, walaupun tahap keyakinan terhadap beliau mungkin berada di paras paling rendah sejak menjadi PM pada tahun 2009, beliau akan kekal sebagai PM.
Disember lalu, populariti beliau mengikut kajian Merdeka Center jatuh kepada 52%. Sebanyak 67% daripada orang yang dikaji menyebut peningkatan kos sara hidup dan inflasi sebagai punca mereka hilang keyakinan terhadap Mohd Najib.
Populariti beliau merudum di kalangan semua bangsa walaupun kejatuhan paling teruk adalah di kalangan orang India. Sokongan orang India terhadap beliau jatuh daripada 76% kepada 57% dan sokongan orang Cina jatuh 13% lagi kepada hanya 21%. Hatta orang Melayu yang menjadi penyokong utama beliau pun memberi penarafan yang lebih rendah – jatuh daripada 73% kepada 66%.
Main Selamat Baik Bagi Mohd Najib
Penarafan dan kritikan nampaknya tidak menjejaskan kedudukan Mohd Najib sebagai PM. Tidak nampak ada cabaran yang berwibawa agar beliau mengundurkan diri daripada kerajaan dan parti.
Tidak seperti (Tun) Abdullah Ahmad Badawi yang ditentang hebat oleh (Tun) Dr Mahathir Mohamad dengan bantuan Muhyiddin Mohd Yassin dan (Tun) Daim Zainuddin serta sekumpulan blogger pro-Umno selepas PRU 2008, Mohd Najib tidak menghadapi gerakan seperti itu.
Bukan itu saja. Malah tidak ada siapa pun di kalangan kepemimpinan kanan Umno sekarang yang berminat menjadi PM. Ini berbeza daripada zaman Abdullah apabila Mohd Najib cukup berminat untuk mengambil alih jawatan nombor satu itu.
Hal ini saya ulas dengan agak panjang lebar dalam buku terbaru saya “Mohd Najib Selepas Tsunami Cina”. Dalam erti kata lain, kelemahan Mohd Najib adalah kekuatannya.
Mohd Najib tidak popular. Penarafan beliau merudum. Tetapi beliau makin hari makin kuat. Malah cukup kuat untuk menutup mulut veteran Umno dan menggoncangkan mereka dengan menggunakan media arus perdana.
Baru-baru ini, dengan tidak semena-mena media arus perdana milik kumpulan Utusan dan Media Prima, memberi liputan luas kepada Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin apabila beliau membuat tuduhan terhadap Daim.
Wayang kulit media milik Umno itu menjadi lebih ketara apabila Mohd Najib membuat kenyataan ringkas menyesali serangan PKR terhadap Daim.
Soalnya, adakah keadaan di mana PM yang tidak popular, tetapi tidak mungkin digulingkan adalah baik bagi negara dan rakyat jelata?
Kesan Kemiskinan Akibat Inflasi
Kenaikan harga barang dan perkhidmatan akibat penghapusan dan pemotongan subsidi serta kenaikan tarif elektrik memberi kesan langsung dalam “memiskinkan” rakyat.
Umum sudah tahu kesan kemiskinan akibat kenaikan kos sara hidup di kalangan rakyat dalam kategori isi rumah (household) 40% terkebawah yang berpendapatan purata RM1,800 sebulan.
Malah Mohd Najib sendiri mengakui kesan kemiskinan yang semakin meruncing itu apabila beliau memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada semua yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.
Akhbar The Star terbitan 27 Mac menyiarkan laporan bahawa hatta golongan yang berpendapatan isi rumah kurang RM5,000 pun menghadapi masalah untuk mengimbangi belanjawan mereka.
Jadi, ada dikotomi atau pemisahan antara pelantikan Mohd Najib sebagai PM lima tahun lalu dengan kesejahteraan hidup rakyat. Manakala kedudukan Mohd Najib semakin terjamin kerana tidak ada lagi usaha menjatuhkan beliau, kedudukan ekonomi rakyat jelata semakin lemah.
Kita boleh mengatakannya satu keanehan atau ironi kerana Mohd Najib adalah PM Malaysia yang paling buruk prestasi pilihan raya (sejak krisis 13 Mei 1969), tetapi tidak tercabar.
Adakah ini disebabkan oleh Umno ketandusan bakat kepemimpinan atau sudah menjadi begitu autokratik sehingga Presiden tidak boleh dicabar lagi?
Atau adakah negara kita sebenarnya lebih terkongkong dan tidak bebas walaupun diuar-uarkan sebagai terbuka, liberal dan sederhana?
Keadaan ini mungkin boleh diterima oleh majoriti ahli dan penyokong Umno, tetapi sama ada ia akan diterima oleh pengundi dan rakyat jelata amnya adalah persoalan yang berbeza.
Sekali lagi mungkin ada dikotomi antara kedudukan Mohd Najib yang kukuh dan selamat sebagai PM dengan sokongan pengundi terhadap Umno dan BN.
PM vs Kelangsungan Umno/BN
Mohd Najib kekal sebagai PM sehingga PRU akan datang, tetapi adakah Umno dan BN akan kekal selepas itu?
Kalau pun Umno dan BN kekal ia bukanlah kerana Umno dan BN kuat, tetapi kerana Pakatan Rakyat mungkin menjadi lemah akibat kemungkinan pemenjaraan ketua de faktonya, Anwar Ibrahim.
Sedikit sebanyak trend pengundian Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Kajang 23 Mac lalu memberi gambaran awal bahawa sokongan terhadap PR di kawasan bandar dan separa bandar semakin kukuh.
Natijahnya, Mohd Najib wajib menjaga pengundi Bumiputera dan luar bandar dari aspek ekonomi dan emosi. Tetapi beliau nampaknya terus cuba menggula-gulakan pengundi Cina dengan pelbagai janji dan pemberian.
Sebaliknya, Bumiputera dan penduduk luar bandar yang berupa rakyat paling miskin adalah yang paling teruk dihimpit kesan kenaikan kos sara hidup, inflasi dan kejatuhan harga barangan utama seperti getah dan kelapa sawit.
Cuma mereka tidak mempunyai saluran yang luas dan bebas seperti di bandar untuk menyatakan keresahan. Mereka masih bergantung pada media tradisional yang umumnya prokerajaan.
Kita tentulah tidak mahu negara kita jadi macam lirik lagu kanak-kanak “Lagu Tiga Kupang” di mana raja dalam rumah buat kira-kira, suri dalam dapur makan roti gula tetapi rakyat jelata tidak ada cerita. Kelangsungan negara dan rakyat jelata lebih utama daripada survival individu. Wallahuaklam.