A Kadir Jasin
POSTING ASAL
DALAM majlis serius Invest Malaysia pada 23 April, Perdana Menteri (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak, menyindir (Tun) Dr Mahathir Mohamad dengan berkata beliau tidak berasa kesunyian.
UPDATE, 30 April – Ketika membuat carian lanjut atas talian mengenai orang Bugis, saya mendapati bahawa artis terkenal Malaysia – Ella, Ziana Zain, Anuar Zain, Noraniza Idris dan Lisa Surihani – juga berdarah Bugis. (Wikipedia bahasa Indonesia).
![]() | ||
Lisa Surihani juga Bugis- Gambar Wikipedia |
![]() |
Pun Ziana Zain - Gambar Wikipedia |
[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]
Soalnya Dr Mahathir tidak pernah berkata dirinya kesunyian. Yang beliau kata ialah beliau berasa keseorangan dalam usaha mencari jawapan kepada kontroversi 1Malaysia Development Berhad dan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.
Keseorangan dan kesunyian berbeza. Itu kalau kita faham bahasa Melayu.
Semalam, dalam satu lagi majlis serius iaitu pembentangan laporan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) 2014, Mohd Najib membuat jenaka mengenai orang Bugis dan kapal mereka.
Merujuk kepada diri beliau sebagai berketurunan Bugis, Mohd Najib berkata, pantang orang Bugis meninggalkan kapalnya walaupun karam dilanda badai.
![]() |
Panglima Bugis bersedia karam dengan pinisinya |
Katanya: “Hatta dilanda badai, patah kemudi dan terkoyak layar dan biar seribu kapal ditelan lautan adalah lebih mulia bertahan dan meneruskan perjuangan daripada berpatah balik ke pelabuhan.”
Natijahnya Mohd Najib akan terus berjuang walaupun seribu kapal karam dilanda badai. Dalam lain perkataan, Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional itu sudah bersiap sedia melakukan harakiri “kalah jadi abu menang jadi arang.”
Itu tidak mengapa kalau bahtera Malaysia kita sekadar sebuah kapal pinisi Bugis. Tetapi bahtera merdeka kita lebih besar dan lebih agung daripada pinisi Bugis berbadan kayu dan berlayar dua.
![]() |
Pinisi Bugis Tersadai |
Atau apakah cita-cita dan aspirasi transformasi yang Perdana Menteri laung dan uar-uarkan itu seumpama pinisi Bugis saja?
Mohd Najib mengisytiharkan: "Sebagai kerajaan yang telus, saya sebagai Perdana Menteri dan ketua kepemimpinan dengan Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan disokong oleh para menteri serta anggota pentadbiran, tidak akan sesaat pun berundur atau menyerah kalah.
"Sebaliknya, kita akan berdiri teguh dan meneruskan perjuangan meneroka sejuta laluan baru demi rakyat jelata dan negara.”
Adakah kita boleh membuat kesimpulan bahawa Mohd Najib telah mendapat ikrar setia dan mati bersama daripada (Tan Sri) Muhyiddin Mohd Yassin dan para anggota kabinet apabila beliau berkata mereka “tidak akan sesaat pun berundur atau menyerah kalah”?
Atau ia satu lagi bukti kegemaran Mohd Najib melaungkan cogan kata dan menabur kata-kata yang beliau sendiri tidak sedar implikasinya.
Wallahuaklam.