A Kadir Jasin
MUTAKHIR– Barisan Nasional mengekalkan kerusi Parlimen Rompin tetapi dengan undi popular yang lebih rendah. Calonnya, Hasan Arifin memperoleh 23,796 undi atau 61.48 peratus undi sah manakala calon PAS, Nazri Ahmad mendapat 14,907 undi atau 38.51 peratus. Pemilih yang keluar mengundi hanya 74 peratus.
Pada Pilihan Raya Umum 2013 Allahyarhan Jamaluddin Jarjis memperoleh 30,040 undi atau 66.89 peratus manakala calon PAS Noridah Mohd Salleh mendapat 14,926 undi atau 33.19 peratus.
![]() |
Hasan Arifin (tiga dari kiri) merayakan kemenangan- Gambar Malaysian Insider |
POSTING ASAL
HARI ini pemilih kerusi parlimen Rompin, Pahang keluar mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) bagi memilih pengganti kepada Allahyarham (Tan Sri) Jamaluddin Jarjis yang terbunuh dalam kemalangan helikopter 4 April lalu.
[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]
Barisan Nasional diwakili oleh calon Umno, (Datuk) Hasan Arifin manakala PAS yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) meletakkan Nazri Ahmad, seorang guru agama.
Ramalan umum adalah BN akan mengekalkan Rompin kerana ia berupa kerusi tradisi BN dan Jamaluddin boleh dikira sebagai wakil rakyat yang tekun menjaga kawasan. Selain jawatan tinggi dalam kerajaan, beliau juga bekas usahawan dan eksekutif perniagaan.
Dalam Pilihanraya Umum 2013, Jamaluddin memperoleh 30,040 undi manakala lawannya, Noridah Mohd Salleh dari PAS mendapat 14,926 undi. Kelebihan undi Jamaluddin ialah 15,114.
Persoalannya hanyalah peratus pemilih yang akan keluar mengundi dan kesan isu semasa ke atas calon dan parti yang mereka wakili.
Isu seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kenaikan kos sara hidup, kontroversi 1MDB dan kritikan dalaman yang semakin keras terhadap Perdana Menteri, (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak, akan menekan BN.
PAS pula dibebani masalah perbezaan pendapat dengan rakan-rakannya dalam PR, khususnya DAP, bersabit cadangan pelaksanaan Hudud di Kelantan. PAS menjadikan Hudud sebagai agenda pokok di Rompin.
Yang lebih menarik ialah PRK parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini di mana Presiden PKR, (Datin Seri) Dr Wan Azizah Wan Ismail mempertahankan kerusi yang terpaksa dikosongkan oleh suaminya, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, yang didapati bersalah atas tuduhan liwat dan dipenjarakan selama lima tahun, baru-baru ini.
Permatang Pauh Utamakan Personaliti
Permatang Pauh adalah sebuah kerusi yang unik di mana sikap “anti-establishment” adalah ciri utamanya. Perwatakan memainkan peranan yang lebih penting daripada parti.
Sebelum ia dirampas oleh Anwar sebagai calon "ayam baru tumbuh bulu pahat" pada PRU 1982, Permatang Pauh adalah kubu Pas. Label calon ayam baru tumbuh bulu pahat itu diberikan oleh (Tun) Dr Mahathir Mohamad apabila mengulas kemenangan Anwar dalam PRU tersebut. Beliau menyertai Umno tidak sampai dua bulan selepas memenangi kerusi Permatang Pauh.
Anwar mengekalkan kerusi itu hinggalah tahun 1998 apabila beliau dipecat dari Umno dan kerajaan, dan seterusnya dipenjarakan atas kesalahan rasuah (menyalahgunakan kuasa) dan liwat.
Dalam PRU 1999 kerusi beliau ditandingi oleh Wan Azizah yang menang dengan majoriti 9,077. Beliau hampir-hampir tewas dalam PRU 2004 akibat tsunami “Mr Clean” (Tun) Abdullah Ahmad Badawi. Majoriti beliau jatuh kepada 590 sahaja.
Abdullah “membebaskan” Anwar pada tahun 2004 dan beliau serta-merta menjadi pemangkin penyatuan pembangkang. Dalam PRU 2008 Anwar kembali bertanding dan mengenakan pukulan KO kepada calon BN (Umno), Arif Shah Omar Shah. Beliau memperoleh 66.64 peratus undi manakala Arif Shah mendapat hanya 33.16 peratus. Populariti beliau merosot sedikit pada PRU 2013 apabila memperoleh 58.56 peratus undi berbanding calon BN, Mazlan Ismail, yang mendapat 40.06 peratus.
Dengan asakan bertubi-tubi oleh BN yang menjanjikan pelbagai habuan dan gula-gula, Wan Azizah mungkin tidak dapat mengulangi prestasi suaminya pada PRU lalu.
BN Menang PM Naik Tocang
Malah ada peramal pro-BN yang begitu yakin bahawa calon parti itu, Suhaimi Sabidi mempunyai harapan 50-50 untuk menewaskan Wan Azizah.
Namun begitu, Rompin dan Permatang Pauh mungkin tidak boleh dianggap sebagai barometer mutakhir bagi mengukur sentimen semasa politik nasional.
Ini adalah kerana kedua-dua kerusi itu kerusi luar bandar yang majoriti penduduknya Melayu. Harapan BN/Umno kekalkan Rompin lebih daripada cerah. Sejarah pilihan raya kawasan itu memberi kemenanganmutakhir bagi BN/Umno. Pembangkang tidak pernah merasai kerusi tersebut.
Ia boleh dianggap sebagai contoh kerusi luar bandar yang taat kepada parti penyandang. Isu keborosan dan gaya hidup mewah Mohd Najib dan isterinya, (Datin Paduka Seri) Rosmah Mansor, GST dan 1MDB menjadi peluru sakti PR manakala BN pula menaruh harapan kepada gula-gula dan janji-janji pembangunan sambil melemparkan tuduhan kronisme terhadap keluarga Anwar dan menggembar-gemburkan perpecahan di kalangan parti-parti PR.
Ada penganalisis berkata, harapan PKR menang besar di Permatang Pauh lebih cerah jika bukan Wan Azizah yang bertanding. Hatta Nurul Nuha, anak perempuan Anwar dan Wan Azizah, mempunyai harapan lebih cerah daripada ibunya untuk mengulangi kecemerlangan PR-PKR.
Tetapi PKR tidak mempunyai banyak pilihan kecuali mencalonkan semula Wan Azizah kerana dikhuatiri sekiranya calon lain yang diletak bertanding, termasuk Nurul Nuha, PKR mungkin tidak akan mendapat sokongan DAP dan Pas. Hatta setelah Wan Azizah dinamakan sebagai calon pun masih berlaku penolakan oleh sesetengah elemen Pas dan DAP.
Manakala kemenangan BN di Rompin adalah dijangkakan, tetapi seandainya ia juga menang di Permatang Pauh maka yang paling beruntung adalah Mohd Najib dan yang rugi adalah pengkritik-pengkritik beliau.
Ia sekali gus membuktikan bahawa Mohd Najib mendapat kepercayaan pengundi walaupun pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau dan banyak dasar beliau menyusahkan rakyat jelata.
Daripada Perdana Menteri yang memerintah seolah-olah dia seorang Presiden, Mohd Najib boleh menaikkan taraf diriya kepada “Maharaja” zaman dulu kala yang bebas melakukan apa saja dan kebal dalam segala perkara.
Wallahuaklam.