A Kadir Jasin
﷽
BERITA kilat.
Tuntutan mahkamah oleh kerajaan Amerika Syarikat menamakan Riza Abdul Aziz, anak tiri Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak, sebagai “individu berkenaan” dalam kes 1MDB.
Demikian menurut berita kilat Reuters yang dihantar melalui sistem pesanan ringkas jam 8.09 malam tadi. (Berita seterusnya di sini).
Riza adalah anak Datin Paduka Seri Puan Puti Reno Rosmah Mandor dengan suami pertamanya. Dia adalah penerbit filem yang tinggal di Amerika.
![]() |
Kiri Riza, kanan Jho Low |
Turut dibabitkan dalam tuntutan itu adalah sekutu Jho Low dan warganegara Malaysia bernama Eric Tan Kim Loong dan seorang lagi bekas pegawai kerajaan Abu, Dhabi Khadem Abdulla Al-Qubaisi.
Kes itu dijangka melibatkan rampasan harta bernilai lebih AS$1 bilion (RM4 bilion) yang dipercayai dibeli dengan wang yang disyaki dicuri daripada 1MDB.
Laporan Reuters mengatakan sebanyak AS$3.5 bilion dicuri daripada 1MDB.
NYT, dalam laporannya berkata wang itu disembunyikan dalam bentuk hartanah, karya seni dan barang-barang berharga lain.
Duit itu disonglap daripada 1MDB dan dipindahkan di sekeliling dunia secara rahsia menggunakan syarikat kosong (shell company), kata Jabatan Keadilan Amerika.
Agensi kerajaan pusat Amerika itu memohon kebenaran merampas aset-aset tersebut melalui satu unit bernama “Kleptocracy Asset Recovery Initiative” yang tugasnya mendapatkan semula harta yang dicuri oleh pihak berkuasa.
Jabatan Keadilan Amerika menyipatkan penyonglapan duit 1MDB sebagai pencurian oleh pemerintah (kleptokrasi).
Ini adalah kes terbesar seumpamanya yang pernah digerakkan oleh jabatan tersebut.
Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, kemungkinan yang paling ditakuti oleh Mohd Najib adalah tindakan undang-undang ke atas Riza dan Jho Low.
Wallahuaklam.