[KOMEN anonymous tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh guna nama samaran.]
SETELAH melihat kempen BN di Kedah (Merbok dan Jerlun) dan DAP Melayu di Raub, sebentar tadi saya jenguk pula kempen PAS di P161 Pulai, Johor.
Di Kedah, saya berjumpa calon BN bagi Parlimen Merbok, Ismail Daut seorang bekas profesor di USM, calon DUN Tanjong Dawai, Tajul Urus Mat Zain dan calon DUN Bukit Selambau, Maran Mutaya.
Dalam PRU 2008, BN kalah di ketiga-tiga kerusi tetapi kali ini mereka amat yakin akan rampas balik bukan sahaja tiga kerusi itu malah akan memperoleh semula Kedah. Mereka kata, orang sebelah sana – maksudnya orang PAS – pun mula sokong mereka.
Di Raub saya berjumpa calon Melayu DAP, Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, yang bertanding kerusi Parlimen Raub dan Khairun Hakimin Mohd Ali PKR DUN Batu Talam. Mereka kata, keadaan lebih baik daripada 2008 kerana orang Felda pun mula benarkan mereka berkempen tetapi kampung-kampung Orang Asli (Orang Asal, kata mereka) masih tidak boleh ditembusi.
Saya berjumpa calon PAS bagi kerusi Parlimen Pulai Salahuddin Ayub di Masjid CIQ Link Kedua. Dia singgah solat Magrib di situ.
Salahuddin turut bertanding DUN Nusa Jaya sebagai rakan selarian calon DAP bagi kerusi Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.
Cukup menarik melihat Salahuddin berceramah di atas lori tiga tan di hadapan sederet kedai yang ada sebuah “pub” (kedai arak), sebuah pusat karaoke dan sebuah kedai makan Islam dengan dihadiri orang Melayu, Cina dan India.
Seorang tua yang saya dekati di situ berkata, dalam loghat JB yang tebal: “Sape-sape pun tak ape asal jangan gadoh sudah le.” (E dalam ejaan itu adalah e yang bertanda).
Alhamdulillah, polis Bukit Aman pun sudah panggil beberapa orang yang khabarnya berstatus VIP untuk “berbual-bual” kerana disyaki terbabit merancang kerja-kerja yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam dalam tempuh PRU ini. Tahniah PDRM.
PS– Saya ambil maklum dan ucap terima kasih kepada pembahas yang surah saya ke Makkah sekali lagi dan yang kata ada tanda bulan di dada saya. Saya tak ada “tatoo” apa pun di badan saya. Lagipun, sebagai wartawan pencen dan bukan blogger partisan, saya rasa adalah hak saya pergi ke mana saja dan jumpa siapa saja yang sudi jumpa saya.