A Kadir Jasin
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
MEMANG kita bersimpati dengan sebahagian kakitangan lantikan politik yang hilang jawatan apabila kerajaan baru Pakatan Harapan menutup agensi politik kerajaan lama seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).
Ini adalah kerana sebahagian besar mereka bergaji rendah dan tidak terlibat secara langsung dengan kegiatan politik pro-Umno/Barisan Nasional.
[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Tetapi mereka sepatutnya tahu dan sedar bahawa turun naik nasib mereka bergantung pada jatuh bangun parti yang melantik mereka dan yang mereka sokong selama ini.
Mereka terlibat secara subahat apabila ketua-ketua mereka “mempolitikkan” tugas mereka. Ketua macam Ketua Pengarah dan Ketua Pemikir Jasa adalah orang yang perlu mengambil tanggungjawab di atas kecelakaan yang menimpa anak buah mereka jika mereka berhati perut.
Dalam hal yang berkaitan, kita tidak perlu berasa simpati apabila kerajaan PH membubarkan Majlis Profesor Negara (MPN).
Memang patut pun majlis itu dibubarkan. Dalam kefahaman umum, MPN adalah badan intelektual tertinggi yang tugasnya mempamer dan melaksanakan kebebasan intelektual (intellectual freedom) di tahap paling tinggi.
Sebaliknya ramai ahli MPN memilih untuk menjadi pengampu dan pembodek ketua-ketua Umno/BN, khususnya bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.
Mereka mengorbankan kebebasan dan kecemerlangan kecendekiawanan semata-mata untuk pangkat, duit dan gelaran kebesaran. Khabarnya di kalangan naib canselor mereka berlumba-lumba mendapatkan gelaran Tan Sri.
Eloklah tempoh pegang jawatan naib canselor jenis ini dikaji semula dan dipendekkan atau ditamatkan terus. Pilihlah pengganti yang tulen kecendekiawanannya dan rajin menyelidik serta menulis.
Bagi wakil (nominee) politik dalam agensi kerajaan serta syarikat dan tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLC dan GLIC) pula, mereka menanglah tidak layak untuk terus memegang jawatan atau mendapat simpati kita.
Ada beberapa orang sudah mengumumkan peletakan jawatan tetapi masih ramai yang berdiam diri.
Kita pun tidak tahu apa tujuan dan muslihat mereka. Yang kita tahu ialah kalau mereka bersedia membuat pusingan U sekali pun kita tidak ada jawatan pengampu, pembodek dan pemakan dedak dalam sistem kita.
Begitu jugalah dengan eksekutif GLC dan GLIC yang secara rela dan gembira memilih untuk menjadi tali barut Umno/BN sehingga khabarnya bangga menerima arahan daripada “suri dalam dapur”.
Mereka juga perlu mengundurkan diri secara sukarela atau menghadapi kemungkinan disingkirkan.
Hakikat bahawa ada sesetengah daripada mereka kini diminta memberi kerjasama kepada kerajaan dengan membekalkan maklumat mengenai urus niaga perbadanan mereka pada zaman Najib tidak bermakna mereka kini sudah selamat.
Kita pun sukar hendak bersimpati dengan watak-watak korporat yang amat akrab dengan “suri dalam dapor” sekiranya saham mereka ditekan turun oleh pelabur di Bursa Malaysia manakala kontrak, projek serta konsesi mereka dikaji semula.
Saya memberitahu mereka selepas kemenangan PH jika mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan dan perniagaan mereka adalah tulen dan telus mereka tidak perlu bimbang.
Tapi nampaknya pelabur tahu dan mereka menjual saham syarikat-syarikat yang terlibat sehingga harganya jatuh merudum.
Kesimpulannya, para penjawat politik, profesor bodek, eksekutif ikut perintah dan usahawan pintu dapur perlulah menerima hakikat bahawa kerajaan yang mereka sanjung dan puji sudah tidak ada lagi.
Buka saya yang kata, tetapi bekas profesor pro-Umno/BN di Universiti Utara Malaysia yang kata: “Ada ubi ada batas.”
Wallahuaklam.