Quantcast
Channel: The Scribe A Kadir Jasin
Viewing all articles
Browse latest Browse all 760

Kesan Positif Sekatan dan Imbangan Selepas PRU13

$
0
0

A Kadir Jasin

[KOMEN anonymous tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account, OpenID atau Name/URL untuk mengulas. Boleh guna nama samaran.]

PEPATAH Melayu ada berkata, sekali air bah sekali pasir berubah. Alhamdulillah, selepas Pilihan Raya Umum 5 Mei lalu telah nampak banyak perkembangan positif di kalangan semua pihak yang terbabit. Saya perhatikan hal-hal berikut telah berlaku:-

1. Rakyat jelata nampaknya tidak lagi mahu kerajaan yang membolot (monopolistic). Mereka sudah berasa kebaikan checks and balances (sekatan dan imbangan) yang kuat di Parlimen dan dalam Dewan Undangan Negeri.

2. Pembahagian semula kuasa sedang berlaku. Keengganan majistret merestui permohonan polis untuk menahan reman tiga ahli dan aktivis politik pembangkang, iaitu Chua Tian Chang aka Tian Chua, Tamrin Abdul Ghafar dan Haris Ibrahim adalah contoh pembahagian semula kuasa itu.

Lagipun, dengan semakin banyaknya kes kematian ketika reman, Ketua Polis Negara baru, Khalid Abu Bakar dan Menteri Dalam Negeri yang baru, Ahmad Zahid Hamidi wajiblah lebih berhati-hati menggunakan kuasa reman.

Hadkanlah penggunaannya kepada kes-kes berat di mana orang yang disyaki mungkin lari dan tidak dapat dikesan. Kes bukan jenayah berat dan membabitkan orang ternama yang susah hendak lari, tidak perlulah minta tahanan reman.

Polis kerjalah kuat sikit. Soal siasat mereka sampai tengah malam atau awal pagi. Tidak perlulah tahan mereka di dalam lokap dan polis balik rumah tidur. Kalau tahan mereka dan terjadi sesuatu yang tidak diingini di dalam lokap, polis juga yang susah.

3. Dalam arena parti, kedudukan Mohd Najib Abdul Razak akan terus dipertikaikan. Cuma mungkin tidak lantang seperti berlaku kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas PRU 2008 kerana Tun Dr Mahathir Mohamad lebih mesra dengan Mohd Najib dan banyak daripada blogger yang dulu anti-Abdullah kini pro-Mohd Najib. Mereka mungkin tidak akan menyokong sebarang gerakan negatif terhadap Mohd Najib malah mungkin 'mendajalkan' (demonise) sesiapa yang cuba menjatuhkan Mohd Najib.

4. Kita sudah tengok komen-komen keras membelasah Tun Daim Zainuddin apabila beliau mengkritik Mohd Najib dan penasihatnya dalam temu ramah dengan akhbar China Press yang disiarkan sepenuhnya dalam blog ini (dan dipetik oleh banyak pihak).

5. Dr Mahathir, Daim dan beberapa blogger bebas akan menjadi penentu sama ada masa depan Mohd Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri akan diperdebatkan secara terbuka.

6. Dengan adanya beberapa orang tokoh kanan Umno yang kalah PRU 5 Mei lalu seperti Mohd Ali Rustam dan Abdul Ghani Othman, kemungkinan Umno kembali ke era yang lebih demokratik dan terbuka ketika mana Presiden dicabar atas landasan hak dan demokrasi, mungkin berulang kembali. Orang lama tentu masih ingat bagaimana Sulaiman Palestin mencabar Tun Hussein Onn dan Tengku Razaleigh mencabar Dr Mahathir.

Apa-apa pun, Abdullah kini boleh mengangkat tinggi kepala kerana tuduhan bahawa prestasi beliau dalam PRU 2008 hambar tidak lagi tepat sebab pencapaian Mohd Najib lebih teruk walaupun disokong oleh Dr Mahathir dan Daim. Melihat kepada pencapaian Mohd Najib, saya sendiri berasa terlebih mengkritik Abdullah selepas PRU 2008.

Suka atau tidak Mohd Najib dan para petugas yang mengendalikan “Bilik Perang” (War Room) BN harus secara ikhlas, terbuka dan telus mengakui bahawa cakap besar mereka telah memakan diri dan mereka kalah kepada Abdullah dan Budak-Budak Tingkat Empatnya.

7. Alhamdulillah sudah ada anggota Kabinet yang berakal yang nampak apa yang berada di hadapan dan mengambil langkah jangkaan (pre-empt) seperti dibuat oleh Menteri Pelancongan Mohd Nazri Abdul Aziz mengarahkan supaya wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menduduki jawatankuasa tender kementeriannya.

8. Daim dalam temu ramah dengan China Press, antara lain berkata keutamaan rakyat jelata bukan ETP atau GTP, tetapi adalah 1) rasuah 2) urus tadbir yang baik 3) keselamatan 4) pendidikan 5) inflasi 6) masalah kemiskinan bandar dan 7) pengangguran siswazah muda. (Tidak beberapa hari selepas itu tersiar berita beberapa orang kenamaan, termasuk anak perempuan seorang menteri dirompak.)

9. Daim telah menemui Dr Mahathir di Putrajaya beberapa hari selepas PRU 5 Mei di mana mereka dikatakan telah membuat “review” keputusannya serta tindakan jangka pendek dan sederhana yang akan mereka lakukan.

10. Sudah nampak tanda-tanda awal yang sebahagian kecil media arus perdana dan pengamal mereka telah menyedari bahawa cara laporan mereka ketika PRU lalu bukan sahaja tidak berkesan malah merugikan BN. Akhbar The Star misalnya, telah mula berundur dalam beberapa aspek laporannya. Ini tidak memeranjatkan kerana tsunami Cina yang Mohd Najib ungkapkan itu menyentuh langsung peranan The Star sebagai akhbar milik MCA dan suara masyarakat Cina dalam BN.

Kesimpulannya, kalau rakyat jelata khasnya para pengundi mahu apa yang mereka lakukan pada 5 Mei lalu memberi kesan positif kepada diri mereka dan negara, mereka harulah terus memerhati, memberi tunjuk ajar dan mengkritik wakil-wakil yang mereka pilih tidak kira daripada parti mana.

Insya-Allah kita akan mendapat lebih banyak kebaikan daripada amalan demokrasi kita.



Viewing all articles
Browse latest Browse all 760

Trending Articles