A Kadir Jasin
﷽
BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Datuk) Zaid Ibrahim, hari ini memfailkan writ saman ke atas Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone), Mohd Najib Abdul Razak, kerana melanggar kewajipan fidusiari.
[PERINGATAN: Komen guna “Anonymous” tidak akan disiarkan. Sila guna Google Account atau Name/URL. Boleh pakai nama samaran.]
Serentak itu beliau menuntut supaya Najib mengembalikan kepada kerajaan semua wang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.Dalam bahasa yang mudah, Zaid menuduh Mohd Najib mengkhianati kepercayaan yang diamanahkan kepada beliau dengan mengambil duit 1MDB.
Zaid, seorang peguam dan bertindak sebagai menteri undang-undang di bawah pentadbiran (Tun) Abdullah Ahmad Badawi, mengemukakan writ itu bagi pihak rakyat Malaysia.
Beliau menuntut Najib memulangkan kepada kerajaan wang sebanyak AS$731 juta (kira-kira RM2.92 bilion) yang didepositkan ke dalam akaun peribadinya.
Zaid juga menuntut supaya wang sebanyak RM42 juta yang Najib dakwa diterimanya daripada SRC International Sdn Bhd dikembalikan kepada kerajaan.
![]() |
Zaid mahu Najib pulangkan duit 1MDB |
Zaid menamakan Najib, 1MDB, Kerajaan Malaysia dan anak tiri Najib, Riza Shahriz Aziz, dalam saman itu. (Baca lanjut di sini).
Ini adalah tindakan sivil ketiga yang dikemukakan berkaitan skandal 1MDB dan yang pertama kepada mahkamah Malaysia.
Dua saman terawal adalah di Amerika Syarikat. Pertama oleh Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) akhir Julai lalu dan kedua oleh pasangan ADUN Datuk Husam Musa dan peguam Matthias Chang minggu lepas.
Pandangan saya mengenai writ saman Zaid itu adalah seperti berikut:
1. Adalah hak mutlak Zaid di bawah Perlembagaan untuk mengemukakan writ tersebut;
2. Menguji tahap ketelusan (transparency), kebebasan (independence) dan kesamarataan (impartiality) sistem kehakiman negara serta tahap profesionalisme para hakim;
3. Menguji komitmen dan tahap kepakaran pengamal undang-undang kita, khususnya dalam isu Perlembagaan dan jenayah kolar putih;
4. Tindakan paling tepat dan logik setelah Peguam Negara, (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali, secara terang dan terbuka enggan mendakwa Mohd Najib dan pihak-pihak yang dituduh bersubahat dengan beliau; dan
5. Membuka babak baru dalam usaha mencari keadilan dan penyudahan kepada skandal 1MDB iaitu melalui litigasi sivil (civil litigation) setelah prosedur jenayah disekat.
Wallahuaklam.