A Kadir Jasin
“ANDA jangan turun padang. Kalau anda turun padangsaya akan kutuk anda.”
![]() | ||
Tun Dr Mahathir pada sidang akhbar kemenangan Pakatan Harapan |
Itulah mesej atau kata dua saya kepada calon-calon Pakatan Harapan (PH) daripada semua parti yang saya bantu ketika kempen pilihan raya umum 2018.
[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Saya kata, mereka jangan jadi seperti wakil rakyat Umno-Barisan Nasional yang hanya turun ke padang setiap lima tahun sekali.
Wakil rakyat PH sebaliknya wajib SENTIASA berada di padang bersama rakyat jelata yang memilih mereka.
Dan apabila mereka berbahas di parlimen atau dewan-dewan undangan negeri, kepentingan rakyat jelata wajib menjadi keutamaan mereka.
Kita dalam PH tidak boleh sekali-kali mengikut dan mengamalkan tabiatburuk Umno-BN.
Jangan jadikan PH parti berprotokol dan feudalistik. Kita mahu negara kita yang tercinta ini menjadi lebih sama rata. Kita mahu masyarakat kita lebih egalitarian.
Tidak perlu high chair (kerusi tinggi) untuk Yang Berhormat kita. Jangan sekali-kali layan wakil-wakil yang kita pilih lebih daripada orang yang kita beri amanah.
Mereka bukan bos kita. Mereka adalah wakil kita. Kita mahu mereka berkhidmat dengan mentadbir dan mengurus negara sebaik-baiknya.
Rakyat jelata bukan hamba yang boleh diarah dan diperintah.
Kita meletakkan batu asas untuk memenuhi amanah, bukan memecah tanah setiap kali pilihan raya datang. Kita pecah tanah (untuk membangunan) bukan untuk pecah amanah.
Peringatan saya kepada semua yang akan dilantik memegang jawatan agar berhati-hati dengan oportunis, lalat, ulat dan lintah korporat yang akan berbaris dengan cerita sedih dan linangan air mata ke pejabat-pejabat mereka.
Kita tahu pada saat kita dan rakyat jelata memerlukan mereka, mereka menjadi pengampu dan penyokong kepada sebuah rejim kleptokrat yang korup.
Kita akan memperbaiki persekitaran ekonomi agar lebih mesra kepada usahawan, golongan profesional dan pekerja.
Tetapi untuk itu kita juga kena berhenti daripada menjadi alat kepada oportunis, lalat, ulat dan lintah korporat.
Terima kasih rakyat Malaysia atas kepekaan dan keberanian anda, khususnya anak muda yang mahukan perubahan.
Adalah menjadi tanggung jawab anda memerhati dan menegur wakil-wakil yang anda pilih jika mereka menyimpang daripada janji dan perjuangan.
Mereka wakil kita BUKAN bos kita. Tidak perlu bahasakan mereka bos.Panggil mereka YB - Yang Berkhidmat.
Mereka wakil kita BUKAN bos kita. Tidak perlu bahasakan mereka bos.Panggil mereka YB - Yang Berkhidmat.
Insya Allah kita diberkati. Terima kasih.