A Kadir Jasin
PEGAWAI-pegawai kerajaan era (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak yang memilih untuk meletak jawatan atau digantung perkhidmatan mereka oleh kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) tidak perlulah mengomel, bersungut dan merintih.
Mereka sepatutnya menerima keputusan rakyat jelata yang tidak lagi mahu pemerintahan kleptokrat Mohd Najib.
[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]
Ada antara mereka adalah lantikan terus dan peribadi oleh Mohd Najib manakala yang lain pula memilih untuk bersekongkol dengan beliau.
Kerajaan baru tidak ada pilihan melainkan memecat atau membebaskan mereka daripada jawatan yang dipegang kerana tidak yakin mereka boleh bersikap profesional, telus dan ikhlas.
Profesionalisme mereka telah rosak apabila mereka memilih untuk menjadi orang suruhan dan tali barut Mohd Najib dan konco-konconya dengan mengorbankan kedudukan istimewa mereka sebagai penjawat awam (public servant).
Kalau mereka dibiarkan dalam jawatan masing-masing, besar kemungkinan banyak bahan bukti penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa oleh kerajaan kleptokrat Umno-Barisan Nasional (BN) akan dipinda atau dimusnahkan.
Mereka adalah antara orang yang secara sukarela dan sedar membiarkan institusi-institusi negara dirosakkan oleh Mohd Najib dan konco-konconya.
Banyak lagi yang perlu meletakkan jawatan, dipindahkan ke tempat-tempat yang tidak sensitif atau ditamatkan kontrak perkhidmatan.
Tidak dapat dinafikan bahawa penyalahgunaan kuasa berleluasa pada zaman kerajaan kleptokrat Mohd Najib.
Misalnya, ketika kempen pilihan raya yang baru berlalu saya lihat sendiri pengerusi sebuah agensi kerajaan berkampung di Langkawi dengan alasan mengadakan pesta perniagaan sedangkan tujuan sebenarnya adalah berkempen menentang Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanding di situ.
Dukacita saya sebutkan, iaitu ketika saya mula mengenali mereka, mereka adalah orang baik dan profesional. Mereka dewasa dan menjadi eksekutif kanan pada zaman Tun Dr Mahathir, tetapi mereka berubah menjadi alat politik di bawah kepemimpinan kleptokrat Mohd Najib.
Perlu juga saya sebutkan dengan tegas untuk perhatian semua wakil rakyat, tidak kira daripada parti yang menang atau kalah, tanggungjawab utama dan mutlak mereka adalah melaksanakan mandat dan harapan rakyat jelata.
Saya kutuk mana-mana mereka yang membuat kerja kotor dan jahat setelah dipilih rakyat semata-mata kerana nafsu yang rakus, keakuan (ego) yang melampau dan kegilaan kuasa yang tidak terbendung.
Marilah kita menjadi manusia berhemah, berbudi dan beriman dengan melaksanakan mandat dan harapan rakyat.
Wallahuaklam.
Wallahuaklam.